اِنّا لِلّهِ وَاِنّا اِلَيْهِ رَجِعُوْنَ.
الفاتحة
بِسْــــــــمِ اٌللَّهِ اٌلرَّحْمَنِ اٌلرَّحِيْـــــــــمِِ
◄.اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِينَ ۞ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ۞ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ۞ إيَّاكَ نَعْبُدُ وإيَّاكَ نَسْتَعِينُ ۞ اِهْدِنَا الصِّراطَ الْمُسْتَقِيمَ ۞ صِرَاطَ الَّذِينَ أنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيِنَ..
آمِّيْن
Pada tanggal 31 Mei 2014, tarikh pilu bagi aku sekeluarga pabila dikejutkan dengan satu berita sedih. Tok(panggilan utk nenek) telah dijemput kembali ke rahmatullah. Pada pagi yang hening itu, Mama (panggilan utk makcik) adalah orang pertama menyedari bahawa tubuh Tok sudah membujur kaku. Lantas dipanggilnya mak (panggilan utk ibu) dalam keadaan menjerit-jerit. Teresak-esak melihat sekujur jasad yg tidak lagi bernyawa. Untuk makluman, Tok dan TokWan(panggilan utk Atok) aku tidak tinggal di kampung di Bagan Datoh, Perak. Akibat faktor usia dan umur, mereka tinggal bersama aku sekeluarga di Bandar Baru Bangi. Dipanjangkan cerita, aku berada di Kolej Kediaman dalam USIM di Nilai, N.Sembilan. Ketika itu, aku dalam perjalanan ke Johol, Negeri Sembilan untuk mengadakan projek akhir ko-ko bagi semester kedua. Tiba-tiba mendapat panggilan dari adik memberitahu tentang berita yg memilukan itu. Terkejut tidak terkata aku ketika itu kerana baru malam sebelum aku pulang ke rumah sebentar semata untuk mengambil barang dan sempat melihat Tok duduk di atas kerusi roda dalam keadaan bertelekung siap seperti baru selesai solat. Terdetik di hati mahu bersalaman tetapi tidak sampai hati kerana melihat beliau mata tertutup seperti sedang lena di atas kerusi rodanya. Melihat keadaan itu, aku terus begerak ke kolej kediaman kerana perlu bangun awal pagi pada esok harinya.
Alangkah gembiranya jika aku dapat bersalaman dengan beliau buat terakhir kalinya!
Dalam firman Allahu Ta'ala ;
|
ajal tidak cepat sesaat dan lewat sesaat |
Ketika mendapat panggilan cemas itu, bas ketika itu sudah pon bergerak menuju ke destinasi. Kebetulan pada masa itu, seorang sahabat tertinggal bas gara-gara terlewat bangun. Oleh kerana itu, bas telah berhenti di R&R Seremban untuk menunggu sahabat itu sampai. Sesampai sahaja sahabat itu dengan motosikalnya, lantas dengan cepat aku meminta izin untuk meminjam motosikalnya itu untuk ke rumah yang terletak di Bandar Baru Bangi. Semuanya secara Kebetulan!! Bila difikirkan kembali, jika tidak disebabkan sahabat yang tertinggal bas itu tadi, aku tidak akan sempat untuk melihat wajah nenda tersayang buat kali terakhir.
Aku tunggang motosikal dengan terburu-buru. Setelah setengah jam kemudian, aku tiba di rumah. Melihat suasana seperti tiada apa apa. Tiada riuh rendah sanak saudara, tiada kereta yang memenuhi halaman rumah. Yang ada ketika itu hanya selipar dan kasut dari jiran jiran berdekatan. Aku masuk, terus ke tempat beradu bilik Tok. Yang aku lihat, Tok terbaring di atas katil. Kelihatan seolah olah sedang lena dibuai mimpi. Aku mendekati dengan lebih dekat. Tetap begitu juga. Mata terpejam rapat tangan diam dan kaku tiada pergerakan. Mak dan mama kelihatan sebak menangis teresak-esak ditenangkan oleh jiran tetangga. Tok Wan pula hanya termenung merenung air muka Tok dengan tenang tanpa riak wajah sedih atau gelisah. Adik beradik aku hanya perhatikan dari jauh. Aku datang perlahan- lahan duduk di sebelah pangkuan Tok. Tak kusangka, Tok yang kebiasaannya petah bercakap, pagi itu diam seribu bahasa. Air mata mula mengalir membasahi pipi. Langsung tak peduli jiran atau sesiapa sahaja ketika itu, aku pula menangis teresak-esak seperti budak kecil.
Kemudian kedengaran sahut sahutan sanak saudara yang berpusu-pusu masuk dari luar rumah. Pakcik-pakcik, makcik-makcik, abang saudara, adik saudara, anak saudara, sepupu, tak kira yang jauh mahupun dekat. Semuanya berasa terkejut dan sedih mendengar khabar tersebut. Aku memberi mereka peluang untuk melihat wajah nenek kesayangan mereka buat terakhir kalinya. Sebak dan sayu. Pilu dan hiba. Ayah yg dari tadi sibuk untuk memanggil orang orang dari masjid sudah kembali ke rumah siap dengan van jenazah untuk membawa jenazah Tok ke masjid untuk melakukan pengurusan jenazah.
Setibanya di masjid, jenazah Tok dimandikan dengan wangian harum, dikafankan dengan pakaian serba putih. Kelihatan masih ada saudara mara yang sempat lagi hadir sebelum jenazah Tok dikebumikan. Duduk jauh agaknya. Tidak lama selepas itu, ADUN Bangi, Y.B. Tuan Hj.Mohd Shafie bin Ngah menziarah ke masjid selepas beliau mendengar khabar kematian di situ. Salam takziah diberikan olehnya kepada kami sebelum beliau beredar setelah melihat sudah ramai sanak saudara yang memenuhi ruang legar masjid itu.
Didalam hadis ada menyebut, "Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca Surah Yasin." (Riwayat Abu Daud).
Dibaringkan Tok di pembaringan. Surah Yaasiinn dibaca. Masih kedengaran di perkarangan masjid suara tangisan saudara mara. Tetapi ditenangkan. Diingatkan kepada mereka bahawa mati itu pasti. Takdir Allah yang menentukan ajal dan maut. Siapa kita mahu melawan takdir? Setelah selesai semua, jenazah Tok di letakkan ke dalam pengusung untuk dibawa ke tempat imam untuk disembahyangkan. Ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat jenazah, Ustaz Don Daniyal bersama-sama ahli keluarganya tiba. Beliau merupakan saudara rapat sebelah TokWan. Ada yang menunjukkan riak muka sedikit terkejut apabila melihat kelibat Ustaz Don hadir ketika solat jenazah. Ada sanak saudara yang lain tidak mengetahui siapa Ustaz Don sebenarnya. Apabila terjadinya kematian sebegini, baru bersua muka. Tidak lama kemudian hadir pula Ustaz Ahmad Rijal iaitu Imam Besar Masjid Besi Sultan Zainal Abidin, Putrajaya dan kaum kerabat keluarga yang lain. Beliau pula merupakan ahli keluarga rapat sebelah Tok. Melihatkan semua sudah hadir. Maka Solat jenazah didirikan.
Selepas itu, selangkah demi selangkah berselang seli dengan bacaan al-fatihah, pengusung diusung dengan perlahan-lahan. Dibawa ke tanah perkuburan berdekatan rumah aku. Liang lahad sudah siap digali dari awal lagi. Semua sanak saudara riuh dan berebut masuk meletakkan jenazah Tok ke dalam liang lahad. Mak memandangku. Dengan pandangan matanya sudah ku dapat mengagak, Mak meminta aku dan abang aku masuk ke dalam untuk mengangkat Tok buat kali terakhir. Kerana sebelum ini, kami adik beradik lah yang menguruskan Tok seharian. Mandi, makan, minum, menjadi teman berborak. Oleh kerana kaki Tok sakit, Tok hanya duduk di atas kerus roda. Jika bukan aku, ada adik beradik yg lain yang akan menolak kerusi roda Tok ke bilik air, ke dapur, ke ruang tamu. Biarlah kami menguruskan Tok buat kali terakhir. Aku dan abang mengambil kesempatan itu untuk masuk ke liang lahad bersama pakcik saudara. Diangkatnya Tok dari pengusungan. Dari atas ke bawah. Sebak aku sewaktu memaut bahagian kaki Tok. Ringan rasanya. Aku letakkan perlahan-lahan. Pautan pada kaki dilepaskan juga secara perlahan-lahan. Semuanya dalam keadaan berhati-hati. Akhirnya Tok sudah di pembaringannya di dalam liang lahad. Balutan kain kafan dimukanya di bukakan sedikit supaya kulit bersentuhan dengan tanah. Terlihat sedikit wajah Tok. Kelihatan seperti tidur. Tidur yang berpanjangan tiada sedar. Beberapa keping kayu dilentangkan sehingga menutupi seluruh permukaan liang lahad. Itulah kali terakhir aku melihat wajah Tok. Puas hati aku pabila dapat menguruskan jenazah Tok buat kali terakhir. Tanah mula dikambuskan semula. Bacaan talkin pun bermula. Sayu-sayu mendengar suara imam. Air mata yang dari tadi mengering, kini kembali membasahi pipi semula. Sukar dibendung perasaan sedih ketika itu. Seolah-olah semuanya berlaku begitu pantas. Semalam Tok kelihatan elok sahaja, esoknya Tok telah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Menjelang masuk bulan zulkaedah ini genap sudah tiga purnama pemergian nendaku yang tersayang, Allahyarhamah Hindun Bt. Abdullah yang telah kembali ke hadrat Illahi pada tanggal 2 sya'aban 1435h. Pemergiannya seperti baru semalam dirasai. Masih segar diingatan dan tetap akan terus kekal di kotak memori ini sampai bila-bila. Sayangnya kami sekeluarga pada beliau tidak sebanding sayangnya Allah S.W.T pada hambaNya yang telah menjemputnya terlebih dahulu untuk bertemu menghadap-Nya Tuhan Pemilik Arasy.
Ingin aku ungkap kembali nukilan bonda buat nenda tercinta.
"Berakhir sudah perjalanan hidup seorang insan pelengkap keluarga yang bergelar ibu. Melahirkan 5 puteri dan 3 putera dalam serba kekurangan. Pengorbanannya yang sangat tinggi dan tidak ternilai serta tiada tolok bandingnya. Tiada harta yang ditinggalkan, namun roh keimanan yang di semai menjadi bekalan dan tersemat utuh di dada anak2. Pemergiannya sangat terasa kerana aku sentiasa berdamping rapat dengannya. Dunia yang terang tiba2 terasa gelap, sunyi, sepi seperti tidak berpenghuni. Ku jadi seperti hilang arah tanpa pedoman.
Di kesempatan ini juga ku ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada saudara mara dan kawan2 yang datang menziarah. Tak lupa juga buat Ustaz Don dan keluarga, Ustaz Ahmad Rijal (Imam Masjid Tengku Mizan, Putrajaya) dan keluarga, lmam Masjid Al-Falah, Sg Ramal Dalam, Kajang dan Biro Wanita Pengurusan Jenazah Masjid Sg Ramal Dalam diatas kerjasama yang diberikan dalam menguruskan pengkebumian jenazah Allahyarhamah bondaku. Semoga roh Allahyarhamah bonda tercinta Hindun Binti Hj Abdullah di tempatkan bersama-sama orang2 yang beriman."
Nukilan daripada Pakcik Saudara........
"Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya mati ini adalah benar,
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar,
bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,
berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar,
dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar,
minum di kolam air nabi adalah benar,
ada syurga dan neraka adalah benar.
Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya,
begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur."
Al fatihah utk mak mentuaku, Hindun binti Abdullah yg telah dipanggil Sang Pencipta. Semoga tenang disana. Amiin
Amiinnn. Amiin Ya Rabbul A'laminnn......
|
ustaz don membetulkan kedudukan jenazah |
Semoga dikau aman bersemadi disana dan semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang2 yang beriman dan beramal soleh serta dimasukkan ke dalam syurga yang dijanjikan Allah S.W.T